SECEBIS INFO SUKAN SEPAK TAKRAW
Gambar di sebelah kiri adalah Encik Mohd Azhari Bin Hamid, seorang penggiat sukan sepak takraw yang berasal dari Pulau Pinang. Beliau juga adalah pemilik website infotakraw.com.
Gambar di sebelah kanan pula adalah bapa beliau, allahyarham Encik Hamid Mydin. Beliau merupakan Pencipta dan Pengasas Permainan Sukan Sepak Takraw (sepak raga jaring). Beliau berasal dari Jalan Patani, Pulau Pinang.
SEPAK TAKRAW ASALNYA DARI PULAU PINANG,HAMPA PERNAH AMBIL PEDULI
TENTANG NI ATAU TAK?
Dikenali sebagai sepakbola jaring pada awalnya dan ditukar
kepada sepakraga jala atau jaring namun atas permintaan negara Laos,Kemboja
& Thailand ianya akhirnya dinamakan sebagai Sepak Takraw.
Walaupun sejak kebelakangan ini prestasi Sepak Takraw Malaysia
seperti terumbang ambing dan tidak menentu di peringkat antarabangsa namun
seharusnya negara patut berbangga sebagai negara asal yang mula memperkenalkan
permainan tersebut.
Siapakah insan yang telah berjasa mencipta sepak raga moden ini?
Beliau adalah Hamid Mydin. Hamid Mydin dilahirkan pada 19
September 1916 dan tinggal di Jalan Patani,Pulau Pinang. Pada masa
itu,sepakraga bulatan dimainkan di banyak tempat oleh orang tua sahaja. Anak
muda dan masyarakat pada masa itu kurang meminati permainan itu. Oleh sebab itu
Hamid Mydin telah bertindak untuk mengubah semula dan memodenkan permainan itu
dengan menggunakan jaring dan gelanggang.
Bertempat di suatu kawasan bertar (tapak bekas Hospital Haiwan
di Jalan Patani,Pulau Pinang),Hamid Mydin menggaris dengan menggunakan kapur
tulis dan kemudian meregangkan tali rami di tiang. Dengan sebiji bola raga
buruk beliau menyuruh sahabatnya Mohamad Abdul Rahman,seorang anak tempatan
Jalan Hatin,Pulau Pinang berdiri di sebelah sana dan beliau sendiri di sebelah
sini. Mereka menendang bola raga pergi balik secara satu lawan satu.
Pada hari-hari berikutnya beliau telah membuat penambahan 2
orang kepada 4 orang dan akhirnya 6 orang pemain. Idea dan perubahan itu telah
berjaya menarik perhatian ramai. Pemain-pemain muda mula tertarik dengan
permainan yang menggunakan 3 pemain sebelah dan berjaring ini.
Selepas itu pihaknya telah membuat beberapa lagi perubahan dalam
permainan dan berjaya mendapat sambutan hebat dari negara jiran,Thailand. Corak
permainan sekarang terhasil dari perubahan yang dibuat bersama Yusof Latif yang
pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Sepakraga Malaysia serta
hasil usaha berterusan bersama Syed Abbas Al-Habshee.
Dalam masa yang singkat permainan sepak raga berjaring dimainkan
dan dipertandingkan di stadium-stadium bertutup. Persekutuan Sepakraga Jaring
Malaysia telah mengiktiraf Hamid Mydin sebagai pencipta dan pengasas permainan
Sepakraga Jaring. Banyak anugerah telah diterima beliau sepanjang
penglibatannya dalam sukan tersebut.
Hamid Mydin telah kembali ke Rahmatullah di kediaman anaknya di
Taman Abidin Jalan Perak Pulau Pinang pada 18 Disember 1991 bersamaan 12
Jamadil Akhir 1412H pada usia 75 tahun dan jenazahnya telah disemadikan di
Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak,Pulau Pinang.
Mudah-mudahan roh Allahyarham Hamid Mydin ditempatkan di
kalangan orang-orang yang dikasihi ALLAH S.W.T.
AL-FATIHAH buat tokoh
sepak takraw tanahair,Hamid Mydin.